Saturday, 12 August 2017

Rajuk dan Hilang....


Mendung...hujan...mendung...hujan...dah tak ingat berapa lama dah berlarutan. Apa yang pasti tahun ini kawasan perumahan saya ni kaya dengan rahmat tuhan. Taburan hujan yang sangat tinggi bermula dari bulan February dulu kalau tak silap saya sampailah  sekarang.

Bangun dari kemalasan, beberapa minggu lepas saya berusaha mencabut rumput di kebun tanpa cangkul. Saya guna tangan kerana mahu mencari anak-anak pokok yang mungkin tumbuh  dari benih bunga yang tidak sempat saya tuai.  Jumpa juga satu dua tapi ada juga yang hilang terus. 

Butter daisy ni pupus terus setelah bertahun-tahun menceriakan laman & kebun. Hilang begitu saja. Ini harga yang perlu dibayar bila leka dan mengabaikan. Memang ada rasa kesal dihati. Ralat & sedih...

Tapi ada lagi perkara lain yang buat saya sedih. Kucing saya Si Kaspin. Sudah sebulan lebih tak mau tidur dirumah. Dah 5 tahun bela dia dengan penuh kasih sayang. Sekali pun tak pernah pukul. Kiranya menjadi kesayangan keluarga dan popular pada  jiran tetangga. Mana saya pergi bersembang adalah dia kat situ. 

Selama hidupnya Kaspin tidak mahu berkongsi apapun dengan sesiapa walau dengan anaknya sendiri si Kastih. Sikap diva dan dominannya sangat ketara walaupun dia kucing betina. Dia juga tidak suka berkawan dan bermain dengan kucing lain kecuali sesekali bergurau dengan anaknya. Kawannya cuma saya dan jiran terdekat sahaja.

Awal rajuknya dia berehat dan tidur  sepanjang masa  didalam bilik bersama  adik jiran baik saya yang memang sangat sukakan kucing. Berminggu juga dia berulang kesitu. Semua terkejut dengan tingkahnya yang luar biasa dan mereka mensyaki pasti ada sesuatu yang tidak kena. 

Memang betul pun. Kemunculan orang ketiga dirumah saya sejak 5 bulan yang lalu membuatkan dia tidak senang hati dan sentiasa marah. Anak kecil yang membesar dengan penuh kelincahan ini berjaya membuat seisi rumah terhibur dengan keletah nakalnya. 

Kerana tidak tahan diganggu dan tempat kesukaannya dicerobohi membuatkan Kaspin membawa diri. Saya perasan bila dia jarang balik kerumah sampai time makan pun saya terpaksa  memangilnya berkali-kali.  Namun tak menduga dia akan merajuk berpanjangan. Saya mulai risau....

Dia kini  jauh berubah. Tidak selesa bermanja macam dulu. Balik cuma untuk makan kemudian bergegas keluar walau hujan lebat. Tempatnya sekarang di atas tembok  jiran berhadapan rumah. Walaupun nampak dimata tapi terasa jauh dihati...dah rasa kehilangan...

Dulu setiap malam  dia akan menemani saya dengan menempek badannya di depan atau belakang screen . Walaupun menggangu kerja tapi saya tetap suka dan rasa bahagia. Sambil mengetik keyboard saya akan picit-picit hidungya yang lembab.  

Kini semua tempat tidur & rehat Kaspin si Tome dah takluk. Screen computer pun dah beberapa kali jatuh dan hilang warna dek tulahnya. Kini dia  pula yang menemani saya ke kebun. Kaspin cuma jeling-jeling dari jauh atau pun menjarak. 

Ingat dulu-dulu, kalau tangkap apa pun mesti bawa balik tunjuk kat saya. Kat mana saya ada kat situ dia hidangkan. Ini beberapa bulan lepas. Pukul satu pagi. Saya dah tidur pun. Dia bawa masuk melalui tingkap bilik tidur yangmana kacanya saya buang untuk jadikan pintu dia keluar masuk. 

Ini pula tangkapan bulan puasa lepas. Saya kebilik air sebentar selepas sembahyang. Time keluar tengok dia duk tercatuk didepan pintu.  Rupa-rupanya nak bagitau.  Dah terbaring atas sejadah se ekor. 

Rasa kosong bila dia tak ada. Rasa rindu nak main tut cak kat padang.

Pagi petang ke kebun bersama...

Suka-suka ber sessi photo shoot di padang...

Saya selalu berdoa dalam hati agar dia tidak marah dan merajuk lagi. Setiap kali dia pulang makan saya akan mengendong dan manja-manjakan dia sambil meminta maaf.. Harap dia faham.

Saya tak mau kehilangan dia sama seperti saya kehilangan pokok-pokok bunga ini . Dia bukan sekadar seekor kucing tapi juga sebahagian dari ahli keluarga yang saya ada dan sayang. Tiada yang keempat selepas ini. 

Ini satu pengajaraan dan peringatan buat saya. Jangan berleka. Lebih perihatin dan menghargai. Waktu ada leka dan abaikan. Bila menjauh baru nak merindu dan tercari-cari. Hati merana tanggunglah sendiri. Mmmm....saya juga rindu dan tertanya-tanya manalah menghilangnya kawan-kawan blog kita ya...Zakie Purvit, Kak Zai, Kak Nora, Julie M, Honey...Anna...dan ramai lagi angkatan lama...sudah tak meriah macam dulu..

Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!

Sunday, 30 July 2017

Cucu Saya Dah 4 Tahun.

Majlis hari jadi Qaseh berlangsung pada hari Jumaat baru-baru ini. Majlis kali ini dibuat kecilan sahaja tapi walaupun kecil penat juga tok dia jadinya. Maklumlah dua minggu asyik merumput pagi petang di kebun tau-tau nak bermajlis la pula di rumah. 

Anak mohon buat dirumah saya. Pada mulanya memang agak keberatan kerana laman rumah yang sempit, penuh dengan pokok bunga. Nak menyewa khemah pula tak berbaloi sebab jemputan pun setakat jiran terdekat sahaja. Kelam kabut jugalah saya membuang sawang dan mengubah pokok ketepi.

Ubah sana ubah sini akhirnya ada juga ruang untuk bergerak dan letak makanan.

Makan di celah-celah pokok bunga pun ada.

Manakala ruang dalam dikosongkan untuk bebudak bermain, berlarian dan makan.

Panas di dalam. Jiran pinjamkan  kerusi untuk bersantai di luar.

 Bersama kawan-kawan menyanyi ucap selamat. Sebenarnya hari jadi Qaseh jatuh pada bulan ramadhan jadi majlisnya terpaksa ditunda ke hari yang sesuai. 

Kek hari jadi dia yang pilih. 

Qaseh bersama ibunya.

Bersama Tok Chunya. Seperti biasa saya memang tak sempat nak mengatik gambar. Sibuk layan tetamu. Jadi gambar-gambar ni kutip dari phone anak saja.

Belum lagi puas ambil gambar. Majlis pun baru duk tengah rancak. Tengok-tengok dia dah siap buang baju dan perhiasan.  Nak makan kek. Budak-budak katakan...

Seronok tengok telatah bebudak bergembira. Masa zaman saya kecil dulu, kami adik beradik tak pernah pun sambut majlis hari jadi. Hanya anak orang yang berada saja ada sambutan majlis. Itupun yang meningkat remaja. Kalau ada duit bolehlah beli hadiah. Masa tu hadiah dibeli ikut kemampuan. Saya masih ingat, ada yang hadiakan sabun wangi seketul, ubat gigi, color pensil, set geometrik, shampoo, anak patung, pensil, buku cerita. Yang paling rare dan lawak modess/pad pun ada orang beli bagi. Hadiah budak-budak sekarang? Mmmh...lumayan!


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!

Saturday, 22 July 2017

Laktud / Rumpailaut - Seaweed

Siapa pernah makan rumpai laut ? Di tempat saya ( Langkawi ) rumpai laut yang terkenal dengan panggilan laktud/laktut ini merupakan sejenis makanan eksotik  yang sangat istimewa dan di gemari. 
Pada musim-musim tertentu rumpai ini akan membiak. Bagi orang yang mahir dan tahu tempatnya akan turun ke pinggir laut untuk mengutip. Kualitinya bergantung pada tempat dan persekitaran di mana ia membiak. 
Selalunya di makan mentah bersama sambal kerisik. Tidak berbau hanyir. Teksturnya agak kenyal macam agar-agar. Meletup-letup dalam mulut bila di kunyah. Laktud tidak boleh terendam air tawar atau di basuh terlalu awal kerana dia akan mencair dan menjadi hampas. 

Minggu lepas anak sulung saya yang tengah mengidam membelinya dipasar hari dengan harga RM10 sekilo. Cantik sangat bentuknya. Ini dipanggil laktud anggur atau laktud lada. Seorang kawan saya pernah membelinya di Kota Kinabalu. Sabah memanglah tempatnya. Namun katanya baunya agak hanyir. Di sini terdapat dua jenis rumpai laut yang lazim dimakan..

Jenis laktud berdaun/berjari lipan ini adalah yang paling femes dan digemari. Maaf gambar agak kabur. Saya ambil dari pakcik google. Teringat masa mula-mula datang Langkawi sekitar akhir 80an. Yang menjual datang berbasikal dengan muatan kotak kayu di belakang. Sekupang atau sepuluh sen  satu pot susu. Berebut-rebut sepupu saya meratah penuh selera. Saya cuma mampu telan air liur. Kembang tekak. Memang tak boleh masuk. Nak termuntah dengan rasanya yang masin payau.

Sampai sekarang hampir 30 tahun berlalu saya masih belum boleh makan lagi laktud ini. Anak suruh juga saya cuba sedikit. Saya ambil setangkai dua, cicah sambal kerisik. Mmmm...boleh telan pula. Rupanya yang jenis lada ini tidak berapa masin sangat berbanding dengan jenis laktud lipan. Orang yang tidak tahan perut tidak boleh makan laktud ini berlebihan, akan cirit kerana dikatakan bersifat panas walau hampir 100% kandungannya ialah air.

Bila cerita pasal laktud mesti ingat pada bronok juga. Kisahnya boleh baca di sini. Salah satu lagi makanan yang cukup-cukup eksotik di Langkawi. Yang ini lagilah geli melihat kerana dia sejenis haiwan laut. Berpuluh tahun juga tekak saya ambil masa untuk menerimanya. Walaupun menjadi kegilaan penduduk tempatan dan penggemarnya  ia tetap bukan my feveret. Not my taste...mat saleh kata. Kalau datang ke Langkawi dan terjumpa di kedai makan, silalah cuba menjamu selera. 


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!













Tuesday, 11 July 2017

Kebun Raya & Demam Raya.


Mmmh! itulah yang terjadi. Kebun saya start beraya dari awal bulan puasa hinggalah kelmarin. Sebulan lebih. Raya sakan dari tuan dia.  Puasa tahun ini memang saya tidak peduli langsung pada kebun. Cuma sesekali saja masuk kutip saki baki sayuran yang ada. 

Akibatnya....inilah yang saya dapat. Kebunraya. Saya sendiri tak tahu nak start kat mana dulu. Semak mata tengok, semak lagi hati di dalam. Rumput dah penuh menjalar setiap penjuru. Dah tenggelamkan sesetengah pokok bunga pun. Hujan yang kerap turun juga membuatkan tanah kebun becak dan tidak selesa berjalan.

Akibat lama bergenang air, banyak pokok bunga yang mati tanpa sempat dipulihkan dan juga dimakan siput babi. Bukan saja siput, ulat & serengga pun membiak di merata pokok. Rama-rama pun banyak dan happy terbang saja nampaknya. 

Walaupun sesetengah pokok mati dan dimakan siput tapi alhamdulillah pokok daun sup ini eluk saja membesar dalam rimba rumput.

Fikir-fikir. Mulai bulan ini saya akan  minimumkan pembelian dan penanaman pokok-pokok bunga. No more on line booking! ( boleh percaya ka..) Kekalkan bunga mana yang ada cukup. Lepas beberapa hari balik dari kampung, saya demam hampir seminggu lamanya. Demam saya pelik sikit kerana saya mudah mengantuk dan akan tidor siang & malam. 

Akibatnya kebun saya makin terabai sehingga ada orang ambil kesempatan masuk dan mencuri benih bunga giant zinnia saya. Geram sangat rasa hati kerana saya memang menunggu masa saja benih bunga tersebut kering. Ada juga orang nampak walau duduk dalam semak. Mungkin kerana warnanya yang terang dan saiznya yang sebesar muka cawan. Dia tinggal sekuntum yang kecil saja untuk saya. Yang besar-besar dia kebas.

Berbalik pada kisah demam. Saya rasa demam saya berjangkit dari Si Tome. Kami sama-sama demam dan sama-sama sekatil tidur siang dan malam. Badan dia pun sangat panas. Hubby  ambil air kelapa muda buat penawar demamnya.  Saya pula ambil daun galak kucing rebus dan mandikan dia. Dua hari kemudian kami sama-sama sembuh setelah seminggu asyik tidur. Gambar atas,  Qaseh asyik memanja Tome walau puas dilarang. 


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!








Sunday, 25 June 2017

Selamat Aidil Fitri 2017


Saya Normala Binti Saad mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri 2017 kepada semua kawan-kawan. Semoga kita dapat meraikan hari lebaran ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Amin.


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!



Friday, 23 June 2017

Ramadhan & Raya

Sekejap saja Ramadhan dah nak sampai ke penghujungnya. Esuk lusa dah nak raya pun. Tak tahu kenapa puasa tahun ini saya jadi macam tak cukup masa siangnya.  Sedar-sedar saya tak ada entry untuk bulan June pun. Walaupun begitu saya cuba sedaya upaya untuk melawat dan bersapa di blog kekawan.

Pikir-pikir balik bukan malas sangat tapi tak sempat sebab kena mengasuh cucu yang lasak. Tengok Qaseh & the gangs tidur keletihan setelah seharian membuat semak diruang tamu.

Lagipun tahun ini menantu berbuka & sahur di rumah sebab anak saya berniaga malam di bazar raya. Jadi saya kena lebih kreatif di dapur sampai hubby tegur.." Mmmm...kalau kat menantu dia tu..."     Kaspin pun letih berpuasa juga..

Bukan faktor cucu saja, anak angkat baru ni... Tome, pun boleh tahan buasnya. Satu kerja juga kena bersihkan tempat dan mandikan dia. Dia juga cukup suka main bola dengan barang mainan Qaseh yang bersepah di lantai. 

Tengok perangai..panjat nak tengok burung dalam sangkar.

Manakala minggu akhir ni baru galak nak buat kuih. Saya tak pandai pasal kuih-kuih raya ni cuma setakat mampu buat sejenis dua kuih kegemaran anak menantu dan suami. Anak sulung suka biskut bebola crystal. Suami biskut kacang mazola. Menantu dan saya tat nanas.

Samperit untuk anak bongsu. Ini resepi pertama dari internet. Bila di bakar bunganya jadi kembang. Tidak cantik bentuknya walaupun rasanya ada. Resepi lama pula hilang bukunya. Nampak  sangatkan betapa tidak mahirnya saya dalam bab kuih raya ni.

Cuba pula resepi kedua dari kawan sekolah. Dia cakap resepi ni bunganya tak jatuh.

Bolehlah tahan kejadiannya jika di ambil kira dengan tangan keras saya ini. Hari ini selesai sudah. Walaupun sikit tapi tetap mencuri masa siang saya. Opps...sudah pukul 5.00 petang. Ke dapur pula untuk juadah berbuka....dan malam ni kena prepare buat ketupat untuk di frozenkan. Suami yang buatkan kerana saya tidak pandai membalut. InsyaAllah saya balik kekampung raya ini.

Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!













Friday, 26 May 2017

Indian Blanket / Gaillardia Pulchella.

Sudah hampir tiga bulan bunga ini berkembang namun  baru hari ini berkesempatan nak perkenalkan dia disini. Indian blanket nama glamournya. Pokok bunga yang berbaloi ditanam kerana tahan panas dan hujan. Macam biasa saya beli benihnya dari online. RM2 saja sepeket. Dapat berpuluh pokok. 

Lihat pada warna merah oren nya yang terang. Mungkin sebab itulah dia diberi nama julukan selimut Indian  ( merujuk pada warna kain puak red Indian dipergunungan ) Bunga ini juga sekelompok dengan bunga matahari dan lain-lain famili asteraceae.

Indian Blanket terdiri dari pelbagai warna dan corak kelopak tertentu. Saya cuma ada sejenis ini saja. Di negara asalnya ( Amerika Latin ) kebanyakkan bunga ini tumbuh meliar dan dianggap rumpai. Walaupun begitu ia masih ditanam sebagai pokok bunga hiasan campuran kerana bentuk dan warnanya yang cantik. Ada juga dari jenis hybrid renek,

Mmmm...malam ini malam melihat anak bulan. InsyaAllah esuk semua umat  Islam di Malaysia akan berpuasa. Semalam saya dah kepasar untuk stok Ramadhan. Semoga Ramadhan ini puasa dan amalan saya dipermudah dan dperkenankan begitu juga dengan kawan-kawan muslim yang lain. Di kesempatan ini saya memohon ampun maaf sekiranya ada penulisan atau komen-komen saya yang tidak menyenangkan hati kekawan. Selamat berpuasa semua!


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!