Thursday 29 January 2015

Bunga dan Musim Kemarau - 1

Sekarang musim kering/kemarau sudah melanda di tempat saya. Sudah hampir tiga minggu hujan tidak turun. Kawasan padang rumput yang menghijau sudah bertukar warna. Saya agak risau dengan situasi ini kerana ini bermakna kelompok Che Kam akan beralih kepada pokok-pokok saya seratus peratus sebagai ganti rumput yang makin mengering. Banyak pokok-pokok dilaman homestay yang tidak dapat menahan terik mentari, menjadi layu dan mati. Menjadikan laman ini separuh kosong.

Musim kemarau juga menyaksikan kembalinya kupurama kelaman homestay. Walaupun cuaca kering namun masih ada lagi bunga-bunga yang tahan lasak berkembang segar  menarik unggas cantik ini berterbangan untuk menghisap madu.

Saya perasan ada seekor kupurama jenis baru  dengan corak dan warna yang begitu menarik melawat pokok kemuning saya. Agak malang saya tidak sempat merakam dengan sempurna, terkejut dengan kehadiran, dia cepat-cepat terbang lari. Saya berharap satu hari nanti dia datang lagi..

Walaupun mengharap kupurama tadi  melawat lagi, namun dalam masa yang sama saya  mulai risau dengan kembalinya  mereka kesini kerana ini bermakna  akan ada ulat-ulat yang memakan bunga dan daun. Lihat bunga Zinnia di atas, sudah ada yang bersarang dikelopaknya.

Bunga-bunga dilaman homestay adalah yang paling terdedah dengan cuaca ekstrim ini. Yang paling banyak mengering ialah pokok Torenia. Namun cosmos green lime  berlapis pemberian dari Julie M kelihatan segar berkembang tanapa sebarang masalah.

Cosmos yang berasal dari Amerika Latin ini bersaudara dekat dengan Ulam Raja yang memang terkenal mempunyai kandungan antioksida yang tinggi dan bagus untuk makanan kesihatan.

Ceria dalam panas terik.

Ini pula Daisy Butter. Bunga Peace.  Itu nama yang saya kenali pada zaman 70an dulu ketika mu;la-mula menanamnya. Namanya di gelar begitu kerana ia sering dijadikan pelekat dan ikon lambang keceriaan pada zaman hippies melanda.  

Saya memang suka sangat bunga comel ini. Agak lama juga ia hilang dari koleksi. Pemberian dari seorang kawan, kini saya mula menyemai benihnya untuk menceriakan taman. Daisy Butter kini sering dijadikan tanaman landskap.

African Marygold. Jenis  ini saja yang masih tinggal. Manakala tiga lagi jenis Dwarf French Marigold saya sudah pun putus benih.  

Berasal dari Mexico dan Guatemala, bunga  ini juga dikenali panggilan tempatan sebagai bunga Tahi Ayam. Walaupun berbau busuk tapi saya tetap menyenanginya kerana ia rajin sekali berbunga.

Termasuk dalam senarai paling tahan panas adalah bunga Satay ataupun bahasa botaninya Angelonia.

             
Juga berasal dari Amerika Latin, bunga ini sering dijadikan pokok pilihan untuk taman ala Inggeris. Dirumah, saya menanamnya kerana bunganya yang cantik,comel dan berbau masam manis, bukan kerana konsep.

Angelonia kedua saya. Berwarna pink belacan. Masih mencari lain-lain warna untuk disatukan.

Si Biru Brazilian Snapdragon, sangat cantik dan amat tolerate dengan terik matahari. Bunga ini sentiasa ramah berkembang setiap hari tanpa terkesan pun. 

Cantik kalau ditanam dalam kelompok yang banyak.

Mengakhiri kisah, RJ jenis baru yang di beri oleh adik saya, membesar cepat dengan suburnya. Saya letakmya ditempat yang tidak diterjah cahaya panas sepanjang hari. 

 Rare? Begitulah katanya. Pun pemberian dari adik. Manakala dua lagi jenis RJ rare mati gagal diselamatkan. Memandangkan bumi homestay sudah lama tidak disimbahi hujan, saya telah mengambil keputusan untuk membuang mana-mana pokok yang layu. Kecilkan kuota tanaman dan siraman. Begitulah yang mampu saya buat dimusim kemarau ini. Moga di musim yang seterusnya saya dapat meriahkan  laman ini kembali.

Saturday 24 January 2015

Langkawi Sunset

Bukan kerana tiada bunga untuk dibicara, tapi saja seronok melayan hobi baru yang lama terpendam dalam jiwa. Minggu lepas cuti berganda jadi saya ambil kesempatan untuk merakam moment-moment indah matahari terbenam.  Ambil kesempatan dari adik yang juga datang bercuti, dia lah yang menjadi drebar saya kehulu hilir mencari tempat yang menarik untuk di rakam. Minggu ini kita belanja mata pula dengan poskad -poskad sunset di Langkawi.

Semasa menyelusuri jalan airport, saya terlihat ranting mati ini di tepi laut. Terus saja melekat di hati. Sedang ramai yang lain menghala kamera ditepi pantai, saya dengan selesanya merakam moment ini dari sudut keinginan saya sendiri.

Memotret ranting mati berlatarkan mentari jingga amat memberi kepuasan dihati saya. Memang jatuh cinta benar saya pada moment indah begini. Pohon ini terletak di jalan belakang yang jarang di lalui.


Pemandangan sinonim pokok kelapa ditepi pantai. Rakam dari dalam kereta yang bergerak laju. 

Ramai orang suka merakam sunset di Pantai Chenang sebab boleh lihat dengan jelas disitu detik-detik matahari terbenam. Saya pula lari dari kebiasaan itu, mahu melihat matahari jatuh di balik bukit dari sudut kuala sungainya,  pun masih tetap indah untuk dihayati.


Helang yang sentiasa setia menanti. Di simbahi cahaya kuning mentari petang. 

   Sebenarnya saya tidak ada sebarang pelajaran asas dalam bidang photography. Semuanya berlaku hanya dengan  berbekalkan minat yang mendalam di samping sebuah kamera gaban yang sudah pupus dipasaran. Minat ini sudah lama berputik dari zaman remaja tapi saya tidak pernah berjuang untuknya. Cuma baru sekarang saya mahu bermula, di ukur dari segi umur mungkin sudah agak terlambat, tapi saya tidak peduli itu semua  kerana saya suka apa yang saya sedang  buat sekarang ini. Harap semua kawan-kawan senang menatapnya. 

Sunday 11 January 2015

Flame Lily @ Bunga Kembang Songsang

Terus terang saya katakan sebelum ini tidak pernah berminat untuk menanamnya biar pun sudah berpuluh tahun sudah mengenali bunga ini. Bunga ini pernah saya jumpa tumbuh meliar ditepi alur. Malah tuan rumah sewa saya dulu pun pernah menanamnya di halaman. Pokoknya begitu subur, melilit dipagaran dengan bunganya yang bertona dua color, berombak cantik.

Pemberian dari seorang kawan, saya menerimanya sekadar rasa biasa. Tidak teruja. Namun setelah bunga kedua keluar  setelah hampir setahun rizomnya memendam diri didalam tanah., perasaan suka padanya  mulai timbul.

Lihat kudup muda yang seakan kudup lilium. Bunga yang  juga nama botaninya Gloriasa Superba ini mula hilang dipermukaan pasu pada musim kemarau yang lalu dan seterusnya muncul kembali bertunas dua bulan lepas.

Oleh kerana sifatnya yang memanjat saya meletakan trellis  bergelung bulat didalam pasu untuknya.

Bila di amati dan di hayati pokok ini mempunyai bentuk daun  yang cantik meruncing dan mempunyai sulur paut yang saling berkait  dihujungnya. Walaupun keseluruhan pokoknya dinyatakan beracun namun dari segi perubatan ia tetap menyumbang dan mempunyai nilai. 

Close up sulurnya. Comel dengan sempurna kejadian.

Dengan bantuan sulur kecil ini  batang kembang sonsang dapat mengukuh kedudukan dan pegangannya ke atas  trellis atau dahan pokok yang di jalarinya.  

Lihat kudup mulai membesar  dan renda di kelopak mulai kelihatan namun warnanya masih lagi hijau.

Waktu ini kelopak telah memecah. Kelihatan garis warna pudar terbentuk dihujung kelopak bunga.

Bersedia mengembangkan sayapnya dengan enam kelopak beropol. Bayang-bayang warna jelas kelihatan.

Hampir kembang sempurna. Warna kuning dan warna merah kian terserlah. 

Sudah kembang sempurna. Memang cantik dengan dua bahagian tona warna yang berasingan. Atas merah bawah kuning. 

Salah satu sebab bunga ini kelihatan menarik  ialah kerana keterbalikkan kembangnya. Selain itu juga kelopaknya sentiasa bertukar arah seolah-olah mahu menari

Rasanya sudah lebih sepuluh hari  bunga ini kembang namun  belum pun nampak tanda akan layu . Tapi apa yang pasti warnanya sentiasa berubah-rubah setiap hari. Lihat warna kuning di bahagian bawah sudah mulai bertukar warna kepada orange kemerahan. 

Tarian tamat. Warna merah sudah menguasai kelopak sepenuhmya. Betul-betul sudah jadi - flame of fire. Saya berharap kehangatan bunga ini berterusan di bulan ini. Selamat berhari minggu dan happy gardening!










Wednesday 7 January 2015

Mol Ikan

Akhirnya setelah beberapa kali tertunda, saya siarkan juga mengenai kisah baja mol ikan yang saya buat sendiri dimana kaedahnya saya dapat melalui pembacaan dan juga  info dari kawan. Pertama kali saya dengar pasal baja mol ini ialah melalui blog Nadia. Dia membuat mol bawang...saat itulah saya terus mencari maklumat melalui pencarian google kerana sangat teruja dengan  testimoni kejayaan yang disiarkan dalam fb kawan-kawan,  walaupun pada mulanya saya tertanya-tanya dan agak berat untuk menerimanya...so simple like that...berkesan ke....

Memang berkesan punnn!! Sebelum bercerita lebih lanjut eluk saya pamirkan dahulu hasil experiment yang pertama..Spinach Malabar...berkilat dan segar bugar. Dua minggu setelah di tanam sisa mol ikan ditepi pokok.

Sekarang mari kita lihat proses membuat mol ikan. Setelah puas meneliti saya pilih info dari  seberang Terima kasih ya donggg....Inilah resepinya
1 kilo ikan segar. 1 kilo gula merah/putih.  Sedikit air kelapa, sedikit bawang dan kulit betik. Caranya: mesin ikan ( saya potong agak besar pun.. ) kemudian susun ikan dalam balang/baldi  berselang seli dengan semua bahan. Tutup.

Saya tutup dengan kain lampin cucu. Kain lampin ini jarang dan udara boleh keluar dengan mudah. Jadi gas yang dihasilkan dapat keluar perlahan-lahan melalui rongga kain tersebut. Tidak payah saya membukanya berselang dua hari. Peram selama dua minggu. 

Cukup dua minggu keluarkan bahan  dan tapis. Mmm..tak ada apa-apa bau busuk pun. Cuma bau manis gula merah sahaja. Lihat dah jadi pun baja mol ikan. Simpan dalam botol dan tutup dan sedia digunakan. Ukuran: 50ml mol ikan campurkan dengan 1000ml air biasa. 

Ini sisa baja/ikan. Saya korek tanah dan tanam sisa tersebut berdekatan pokok spinach malabar, cili dan terung. Saya nak tengok hasilnya bagaimana. Menjadi ke tidak...

Lebih kurang dua minggu saya dapati pucuk-pucuk spinach malabar  yang kurus mendadak gemuk menghijau .

Cili besar begitu menjadi dengan saiz standard. Menepati piawaian katakan..

Semua pokok cili berbuah lebat..

Tapi agak malang..penyakit tradisi cili - jeruk hantu - terus meranapkan semangat saya...

Terung pula lebih subur kepada daunnya. Buah..sebiji sepokok...

Begitu juga dengan tomato ini. Pokok besar sampai tumbang. Buah tetap menten..sebiji juga.

Kemudian saya cuba pula pada pokok kobis ini. Sudah berbelas kali rasanya sepanjang umur ini mencuba tanam kobis tetapi tidak pernah satu pun menjadi. Kobis saya tidak pernah membulat. Kalu hidup pun pasti memanjang macam kailan. 

Hasilnya setelah hampir dua bulan. Happy sangat bila dapati kobis saya mulai membentuk. Nak jadi kobis ke...

Closed up sikit...agak-agak nak jadi bulat tak....

Namun nasib tidak menyebelahi saya lagi..dua pokok kobis saya didalam pasu yang sama renyuk habis. Tak tahu nak tuduh siapa. Kucing ke..orang homestay ke...Sekarang yang tinggal cuma satu ini saja...yang dua lagi sudah nyawa-nyawa ikan. Harap hidup. Teringin sangat nak lihat sayur ini berjaya menjadi kobis...Ok, saya harap kawan-kawan yang lain boleh mencuba resepi mol yang mudah ini. Boleh rujuk lagi kisah dan resepi mol disini