Thursday 19 October 2017

Bunga Tongkeng - Tonkin Jasmine

Mula dengar nama bunga ini sekitar tahun 70an masa berbual pasal pokok hutan bersama arwah nenek dan emak. Ketika itu saya di awal usia belasan tahun.  Sangat wangi ujar mereka. Kami adik beradik ketawa kerana namanya kedengaran agak pelik. Masa tu tak pernah dapat bayangkan bagaimana rupa bunga ini. Lagipun kata mereka cuma boleh jumpa dipinggir hutan saja. Saya beranggapan orang tidak  menanamnya sebagai pokok hiasan di rumah.

Hampir 40 tahun berlalu, barulah saya dapat melihat bunganya didepan mata. Sangat comel.

Pokok ini juga menjadi buruan peminat bunga nadir dan boleh di beli dengan mudah secara online. Di rumah saya biarkan ia melilit di tiang dan menjalar hingga kesiling  porch. Rasanya pokok ini boleh merimbun dan lebih sesuai dibuat para.

Pemberian dari kawan awal tahun ini. Tak sedar pun bila masa kuntumannya hadir. Tahu-tahu dah berjuntaian di atas. Saya ingat pokok ini  asalnya pokok tempatan tetapi melalui pembacaan rupanya ia berasal dari negeri Cina dan dikenali dengan pelbagai nama. Waktu  dinasti manakah ia dibawa masuk ke sini?

Pertama kali kembang. Terketar-ketar juga saya menginjat atas bangku untuk ambil gambar. Paling teruja nak cium aromanya. Memang wangi. Nyaman saja baunya. Seakan kombinasi bau lemon dan jambu saya rasa. Kata orang bunga ini lebih berbau harum pada waktu malam. Bunga dan pucuk tongkeng ini juga kaya dengan karbohiderat, protin dan vitamin A.

...dan juga dijadikan bahan masak. Bunganya boleh dibuat kerabu, sup dan gorengan.  Saya cuba resepi yang paling mudah dan lazim. Goreng telur bertongkeng walau bunganya belum habis kembang. Terujanya nak rasa, sedap tak?

Mmmm...beginilah kejadiannya. Sengaja tak campur bawang dan cili. Nak nikmati rasanya yang sebenar. Bila gigit dan kunyah masih terbau aromanya didalam mulut. Siapa yang tanam pokok ini bolehlah cuba memasak.


Ok kawan-kawan please take care. Happy blogging & happy gardening!
.....and happy deepavalli for my indian friends.

Sunday 8 October 2017

Kalau Dah Bukan Rezeki.

Masih dalam musim tengkujuh. Ramalan mengatakan hujan berserta angin kuat  akan berterusan hingga penghujung bulan October ini. Jadi abaikan kebun dan bunga buat seketika.  
Kali ini nak bercerita pasal pokok buah lah pula. Walau ruang taman rumah saya sejemput saja tapi saya tetap berusaha tanam sepokok dua pokok buah2an buat pelepas makan garam belacan orang kata walaupun saya bukanlah kaki menyicah. 

Ini jambu madu yang saya tanam masa setahun berpindah kesini. Tanam dalam kawasan rumah. Buah tak pernah putus. Saya telah tut beberapa batang pokok dan sedekahkan pada kekawan. Sepokok hantar balik kampung. Semuanya sudah berbuah lebat.

Pokok jambu ini membesar sampai melepasi bumbung rumah. Malangnya tahun lepas  daunnya diserang oleh beribu ulat bungkus. Jadi saya terpaksa upah orang tebang walaupun pokoknya tengah berbunga.

Ini ulatnya...tengok tu bergayutan...

Cik Jamal cas RM50 untuk tebang dan buang dahannya dihujung padang. Saya tak cakap banyak. Ok saja. Janji ulat tu tak menyerang pokok bunga dan pokok pelam yang bersebelahan . Sebelumnya saya lihat dah ada sekor dua bergantung di daun bunga ros. 

Beberapa bulan setelah ditebang, belimbing kampung yang saya tanam sama sehari dengan pokok jambu ini mencanak naik dengan suburnya. Dulu terbantut dicelah pokok jambu. Berbuah tanpa henti juga.

Malangnya bila masak...penuh dengan sarang lalat buah pula. 

Waktu muda cantik saja kelihatan. Tak ada tanda gigitan pun.

Saya juga tanam sepokok belimbing madu belakang rumah. Cantik pokoknya tapi kurang  berbuah. Ini buah sulung. Tak berapa  panjang. Saya bungkus tapi sempat juga diserang oleh ulat bulu jenis kecil. Putik lain habis dikerjakan. 

Dapat jugalah merasa buah sulung. Manis. Apa petua nak bagi buah lebat? Semua baja dah taruh. Kalau bab berbunga bukan main. Penuh ranting. 

Delima kampung ini saya tanam di homestay sebelah rumah yang saja jaga dulu.  Dah masuk lima tahun. Rajin berbuah. 

Tapi bila masak masamnya ya amat. Kini dah setahun lebih homestay di sewakan. Penghuninya pula sangat tidak mesra alam dan masyarakat. Saya tak ralat pun. Biarkan...bukan rezeki saya kan. 

Di kebun ada tiga pokok lagi delima  dari jenis isi merah menyala. Benih dari buah beli dipasaraya. Rajin berbunga tapi belum pernah lekat buah. 

Pokok amra pun ada. Tanam dalam pasu. Walau terbantut pokoknya tapi rajin berbuah. 

Setakat ini buahnya semua menjadi  rezeki geng menyicah.

Dalam banyak pokok buah, yang ini lah selalu menjadi perhatian ramai. Kalau time lebat, bergayutan sampai kebawah. Sudahlah bersaiz besar. Sapa yang tak geram tengok. Pokok pelam saya ni selalunya berbuah diluar musim. Orang dah habis dia baru nak berbunga. 

So  jadi perhatian ramai lah. Sampai ada orang tak kenal pun boleh datang meminta. Bini mengidam. Tak tahulah macamana diaorang hidukan....Nak tak bagipun tak tergamak juga. 90% hasil  pelam saya selalunya menjadi habuan jiran, orang tak dikenali dan peragut bersiri. 

Sukar nak biarkan ia masak  100% di pokok. Peminatnya ramai. Kalau sempat  bolehlah kait dan peram. Saya pula  tak suka buah muda yang masam.  

Musim ni buah tak berapa menjadi. Mungkin putik tak lekat sebab musim hujan. Tapi bahagian jiran untuk menyicah dan berkerabu tetap ada. Saya pun kini berlajar lebih redha. Tak nak marah-marah dan rungut-rungut. Dah bukan habuan kita. Tak masuk kemulut walaupun tercatuk depan mata. Halal saja. Rezeki kita  adalah keikhlasan dihati. Bonusnya  disana kelak. 

Selain itu saya ada juga menanam nangka madu, mempelam, pisang, lemon, jambu batu  dan anona di kebun tepi padang. Kalau ada rezeki bolehlah saya dan jiran merasa. Harap-harap pemaju tak ada apa-apa rancangan disitu lagi. 


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!