Tuesday 31 May 2016

R &R 2 - Kebun Baru

Sudah hampir seminggu hujan turun berterusan di tempat saya. Selama itu sudah tiga kali ribut dan angin kencang melanda. Hari pertama ribut banyak pokok buah yang baru saya tanam  tumbang termasuklah pagar kebun R&R saya. Tidak banyak yang saya boleh buat. Sekadar meronda melihat pokok tanaman yang terkulai dan hampir separuh tenggelam di banjiri air hujan. Dalam hati berdoa saja agar hujan berhenti...mmm..masa kemarau aritu minta hujan..dah hujan...minta matahari pula...

Pagi ini hujan lagi. Kabus boleh dilihat sampai kepetang mengelingi bukit di sekeliling perumahan. Dalam hujan rintik saya keluar juga untuk mengambil gambar kebun baru yang saya usahakan dari bulan April yang lalu.

Kebun baru ni saya namakan R&R 2 bersambung dengan tapak R&R lama. Saya mulakan dengan tanam labu dahulu  dan di ikuti seterusnya dengan serai, kemangi, bendi, timun, labu air, kundur dan terung. Pokok-pokok ini Che Kam tidak makan, Jadi semuanya selamat walaupun tidak berpagar. 

Penat tapi seronok. Itulah yang saya rasa bila membuka cawangan baru ni.  Setiap hari bermandi peluh menyangkul rumput sambil ditemani Kaspin. Kehulu kehilir saya melawat. Depan, belakang dan tepi rumah. Semua nak kena tengok. Naik hitam muka sun burn...terpaksa lumur tepung pulut ganti bedak sejuk sampai dah jadi macam Mok Cun. 

Pada masa yang sama saya juga buat kebun mini di depan rumah. Tapak ni dulu saya letak pokok-pokok  bunga.

Sebulan saja dah boleh makan hasilnya tapi tidak berapa cantik kejadiannya kerana kurang cahaya matahari, Tapak ini dah jadi teduh sebab pohon mempelam saya membesar dan merendang walaupun dalam musim kemarau.

Lalu saya ubah baki anak sayuran ini ke kebun R&R 1 dan R&R 2. Jadi tutup sudah cawangan depan rumah. Ganti pokok bunga balik.

Dua bulan berlalu inilah hasil kebun R&R 2. Semua pokok yang ditanam makin membesar. Saya juga selitkan  pokok buah2an dan lain-lain pokok ulaman. Waktu ni Che Kam dah mula menghidu dan ada beberapa kali sudah masuk makan pokok-pokok buah. Penat menghambat kalau gerombolannya lepas kandang.

Terung hasil pertama kebun ini. Tuan benih cakap namanya terung Bangladeshi...

Terung putih baru berbunga. Di belakangnya pokok benih campak-campak saya. Benih-benih lama yang bercampur aduk Tumbuh subur bukan main. Ada timun, timun betik, tembikai, honey dew, bayam dan kangkong. Pokok bunga pun terselit juga.

Labu baru berlajar berbuah. 

Timun dan labu air sudah menyesuaikan diri dengan tanah bakar dari rumput yang saya cangkul dan kumpulkan. Kalau harap tanah asal memang keras berbatu sebab tanah tambak. Asalnya dulu kawasan  tapak perumahan ini adalah paya laut. 

Timun mini sulung simpan buat benih.

Labu air dah mula berputik..

Serai dan kemangi tengah membesar. Masa ni semua sayuran nampak cantik dan segar saja sebab waktu di ambil gambar, musim hujan belum bermula. Tanah pun kering eluk.

Bila hujan dah bermusim..beginilah gambarannya hari ini. Air bergenang di mana-mana. Hampir separuh dari tapak dan sayuran di kebun R&R 2 di tenggelami. Sawi kerinting saya banyak yang  mati dan pecah daunnya.

Mujur sawi batang hijau masih dapat bertahan. Manakala sayuran lain banyak yang melecur daunnya. Ulat, kumbang, belalang dan serengga perosak berleluasa membuat sarang di daun.  Sepagi saya memangkas daun-daun yang rosak.

Masa itulah saya terjumpa timun betik yang cantik ini berselindung dibalik daunan. Tak perasan langsung sebelum ini. Happy rasa hati. Tak sangka berbuah eluk begini.  Inilah hasil pertama benih campak-campak. 

Toleh dibelakang, kelihatan kebun R&R pertama saya. Saya ambil gambar dari bahagian pagar yang roboh semasa ribut baru-baru ini. Di sini juga berair namun rata-rata pokok buah dan pokok bunga yang sudah stabil kurang mengalami  kecederaan. Lain hari nanti kita bercerita pula tentang pokok buah2an dan ulaman  saya juga kebun belakang rumah.

OK kawan-kawan, take care. Happy blogging & happy gardening!

Tuesday 24 May 2016

Rose Lagi...

Akhirnya dapat juga saya dengan rose kampung ( atau di kenali juga dengan nama rose Damask ) Ni..ros mawar kegemaran arwah  mak. Lama juga saya mencari di nursery malangnya tak ada. Jumaat  lepas saya ke pasar tani di perumahan KEDA berdekatan. Semasa membeli belah saya terlihat pokok ros ini dihadapan sebuah rumah penduduk. Apalagi terus masuk tanya dan kebetulan dia ada menyemai anak pokok . Saya membelinya dengan harga RM10.00.

Walaupun dapat membeli anak pokok tapi mata saya tetap berkenan satu lagi pokok  didalam pasu besar yang sedang mekar berbunga. Sudah tentu tuannya tidak mahu menjual. Kerana malas nak mengendong dengan barangan lain saya tinggalkan dulu pokok itu bersama tuannya. Petang baru saya kesana semula.

 Petang itu akhirnya tuan rumah setuju menjual pokok dalam pasu besar tersebut dengan harga RM30.00 setelah termakan pujuk rayu saya. Hmmm...seronoknya. Puas hati. Tak jadilah ambil yang kecil. Dah dapat yang besar. Pokok  lebih 4 kaki tinggi. Banyak cabang  dengan putik bunga berjambak keluar. 

Sudah 5 hari di rumah. Bunga tidak putus berkembang. Harum baunya semerbak. Saya memang suka sangat dengan baunya yang nostalgia itu. Daunnya pun wangi. Namun kelopak jenis rose mawar ini tidak dapat bertahan lama ditangkai. Kasar sikit pun dah terlerai gugur kebumi. Hujan lebat pun gugur juga. Nasib baik pagi ni sempat ambil gambar, tengahari hujan ribut melanda disini. 

Ini pun jenis rose mawar dan baunya sebijinya wangi macam rose di atas. Cuma colornya lebih terang saja. Saya beli bulan lepas dari penjual Siam yang setiap minggu berkampung menjual barangan dan pokok-pokok di kampung berdekatan juga.

Semenjak ada peniaga Siam tersebut maka saban minggu saya kesitu untuk membeli pokok bunga dan buah2an. Rasanya hampir 2 bulan saya membeli sampai sudah tidak tahu kat mana nak tanam pokok-pokok buah2an. Dah tak ada ruang... 

Tahu rumah ruang sempit tapi hati ni tak boleh tahan  tetap nak beli juga...

Jadi sepanjang bulan lepas dan bulan ini saya telah membeli beberapa rose baru. Rose Siam saja. Murah. Se pokok RM10-12.00 saja.

Namun cantik juga dan ada kembangnya yang tahan berminggu di tangkai. Macam rose red cili ni.

Ada juga jual mini rose tree tapi harga dia mahal sikit saja dari yang biasa. Corak batik dengan warna campur.

Merah Gelap

Dan merah pudar...

Yang ini terjebak beli. Konon nak cari mawar putih saiz besar. Dah tak ada beli yang ini pula. Merah kesumba.

Pudar bila kembang penuh. Seronok bila dapat beli  bunga baru ni...rasa puas dan lega...Apalagi bila yang lama pun tak henti berbunga walau diserang penyakit.

Masa musim panas terik yang lepas boleh kata semua pokok rose saya diserang penyakit pada daun dan bunga pula terbantut tak jadi kembang. 

Puas saya sembur hari-hari dengan air untuk hilangkan penyakit sebab saya tiada ubatnya.

Dalam terbantut ada juga berjaya kembang walau kelopak tak berapa nak  sempurna

Lihat  warna coklat tanda penyakit di kelopak bawahnya. Sekarang dah masuk musim hujan. Hari-harilah pula hujan turun. Harini langsung ribut taufan. Habis pagar  di kebun R&R patah. Pokok buah2an yang saya tanam di kebun baru ( R&R 2 ) pun banyak yang tumbang. Banyak kerja lah minggu ini jadinya...Lain hari pula kita cerita kisahnya,

OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!

Thursday 19 May 2016

Nostalgia Pinggan Lama

Saya bukanlah pengumpul barang lama jauh sekali barang antik tapi saya pasti semua orang bernaluri seperti saya, suka melihat barang-barang tersebut kerana ia pasti mengimbaukan  kita pada memori   kehidupan masa lalu yang mana pada satu waktu dan ketika kita pernah hadir bersamanya di sepanjang jalan kenangan.

Begitu juga saya. Tahun lepas ketika dipasar karat, mata saya terpandang pada pinggan berbunga biru ini. Serta merta kenangan silam datang bertandang.  Saya pernah makan kuih raya dalam pinggan ini di awal tahun 70an. Masih bersekolah rendah. Saya masih ingat ada kuih buah kana, kuih sampan, samperit dan kuih bakar disusun penuh dalam pinggan. Kami makan sambil pandang-pandang pinggan yang cantik itu. Maklumlah kat rumah tak ada kan...

Mak Ram begitulah nama tuan si pinggan raya tersebut. Ibu kawan baik saya. Hanya kat rumah dia saja yang ada kuih raya moden dan sedap. Hampir  45 tahun sudah berlalu. Apa khabarlah dia sekarang...

Saya juga jumpa pinggan kekwa merah ini. Dulu kala mak pernah ada pinggan ni kat rumah.

Walaupun warna dah agak pudar  tapi kenangan makan nasi dalam pinggan ni masa kecil-kecil dulu  bersama-sama mak, pak dan adik beradik lain tetap terang dan subur di ingatan. 

Nak langkah kaki tak boleh saya ambil juga pinggan berdaki ini. Pinggan ini juga merupakan antara  pinggan di sepanjang jalan kenangan saya....Siapa pernah guna pinggan corak ini masa dulu-dulu?

Walaupun ada banyak lagi barang lama yang menggamit memori di jual dipasar itu namun saya cuma memilih membeli 3 biji pinggan di atas saja dengan harapan lain kali datang beli lagi...

Yang ini lain pula ceritanya. Ini pinggan lama keluaran Johnson Bros. England. Keluaran sekitar tahun 40an. Era zaman Jepun.  Saya tidak membelinya tapi  dapat percuma. Adik beri. Untungkan kerana pinggan ini bernilai dan sangat di gemari oleh pengumpul koleksi pinggan lama. 

Kisahnya pinggan-pinggan  lama ini tersimpan berkurun lamanya  didalam jelapang padi. Kepunyaan syarikat/pakat kenduri sebuah kampung. Meraka sedekahkan kepada orang ramai. Adik tahu pun sudah lewat jadi dapatlah sedikit saki baki yang di tinggalkan orang. Bertuahlah orang pertama yang datang ya...

Cantik motif bunga raya yang melatari permukaan pinggan ini. Bayangkan beratus pinggan lama disedekahkan. Terpikir sejenak..tak tahukah mereka pinggan-pinggan ini cukup bernilai dipasaran dan sukar di temui lagi sekarang ini.

Tertera cop mohor dan nombor siri di belakang pinggan. Nama pinggan keluaran ini Khyber. Saya agak terkejut kerana adik saya sendiri tidak tahu pinggan lama ini bernilai sebab dia tidak punya kenangan dan tidak pernah tengok pun.  Zaman dia  pakai arcoroc dah...

Dapat sebiji saja corak ini itu pun sudah mulai retak seribu.

Motif bunganya agak berlainan dan tidak tahu buatan negara mana. Cuma di belakangnya tertera cap crown.

Pinggan-pinggan made in China pun ada juga. Saya angkut bawa balik  semua corak yang adik dapat. Bukan senang nak jumpa pinggan lama original ini.

Corak bunga hitam yang biasa kita lihat. Arwah tuk saya banyak yang corak-corak begini tapi malangnya pinggan peninggalan tuk habis hilang dari rumah saya  selepas kematian mak. Perhiasan koja dan tembaga mak pun juga tiada. Sampai kehari ini saya tidak tahu siapa yang mengambilnya. Sayang betul...

Saya percaya ada antara kawan-kawan yang memiliki corak begini di rumah sendiri tak pun di rumah kampung. Nenek atau  ibu pasti ada menyimpannya.

Kebanyakkan corak banyak bermotifkan bunga raya.

Ada juga corak bunga mawar kembang penuh.

Pernah tak makan kenduri dalam pinggan ni masa bebudak dulu...teman sezaman saya pasti ingat.

Corak mawar hitam ini istimewa sikit sebab ada campuran warna biru kehijauan yang lembut.

Ada set mangkuk. 

Tanda pinggan yang digaris dengan batu kawi. Mesti pernah tengok kan..

Cuma dua biji ini saja made in Japan. Corak bunga lebih kecil dan warna lebih ceria, Berbeza dari buatan Cina kuntuman bunganya lebih besar. Lebih banyak warna hitam dan lembut.

Comelkan piring ini.

Semua pinggan-pinggan ni saya bawa balik dari kampung minggu lepas. Teruja sangat dengannya. Beruntung lagi dapat percuma...cuma yang malang tak ada tempat nak display. Rumah saya tak ada almari hiasan jadi display kat blog sajalah. Kongi tatapan dengan kawan-kawan.

OK kawan-kawan. Please take care. Happy blogging & happy gardening!